"Tom & Jerry"

Tom & Jerry
sahabat yang acapkali bermusuh

menegakkan ego masing-masing

Tom & Jerry
pertelingkahan yang menghumor penontonnya
lagak jenaka slapstik dan plastik
si Tom mengejar Jerry yang menghentak kepalanya dengan tukul, kadang kala dengan anvil
kadang kala bertembung si anjing Butch, pelindung Jerry
kisah komikal yang tiada penghujungnya

suatu hari, siri baru tiba
si Jerry dijenakakan lagi oleh si Tom - ditimbus tanah di belakang rumah mereka
si Jerry ditinggalkan
si Tom berlalu
si Butch tidak muncul membantu
si Jerry ditinggalkan, terus ditinggalkan dan ditinggalkan
dan si Tom dikurung di dalam sangkar di dalam rumah
si Butch tidak muncul membantu

anak-anak kecil merungut sendiri: "Apa akan jadi pada Tom & Jerry?"

muncul lagi siri baru
Tom dihantar ke pusat jagaan haiwan terbiar
berjumpa dengan Butch di tempat sama, sangkar berbeza
bertukar cerita lalu meratapi si Jerry.

(saat ini sang adik mulai teresak-esak)
"Tapi inikan cerita kartun? Biar betul si Tom meratapi Jerry sedangkan dia asyik berfikir 24 jam cara-cara nak buli si Jerry tu?" Komen seorang abang kepada ibunya.
"Jerry?" Tanya adik kepada abang dan ibunya.
"Jerry tu kan tikus, dia mesti pandai korek lubang cari jalan keluar," komen abangnya.

(ini umpama kisah kita
humor tidak lagi menghiburkan, juga tidak lagi menawarkan luka)

23 ogos 2008

Pandan Indah 




Comments

Popular posts from this blog

Folk Poetry/Pantun Rakyat

Balada Pa' Belalang

from http://www.symantec.com/about/news/release/article.jsp?prid=20090819_01